Assalamualaikum w.b.t

Thursday, 19 November 2015

Peristiwa Keranda 152

Image result for keranda 152

Apa sebenarnya Keranda 152? 

Ianya merujuk kepada Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi dan Bahasa Kebangsaan. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan adalah salah satu dari kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama oleh rakyat berbilang bangsa.

Sewaktu detik mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, tuntutan rakyat untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai satu- satunya Bahasa rasmi telah tidak dapat dipenuhi oleh parti yang memerintah. Alasannya kerana Bahasa Melayu belum benar-benar bersedia untuk mengambil-alih tugas Bahasa Inggeris yang telah digunakan oleh penjajah dalam segala urusan rasmi dan pentadbiran negara. Atas sebab itu, Bahasa Inggeris masih dibenarkan penggunaannya, untuk tempoh masa 10 tahun lagi. Tempoh itu dirasakan manasabah untuk setiap rakyat Tanah Melayu mempelajari dan menguasai Bahasa Melayu.

Apa yang berlaku pada tahun 1967, Bahasa Inggeris masih diberi ruang yang besar sebagai bahasa rasmi. Badan NGO Melayu rasa terkejut dengan beberapa peruntukan dalam Rang Undang-Undang Bahasa 1967 yang masih mengekalkan Bahasa Inggeris dalam beberapa bidang terutama bidang kehakiman.

Apa gunanya merdeka, jika bahasa anak pribumi dianggap sebagai bahasa kelas ketiga dan tidak layak diguna di negara sendiri? Adakah tempoh 10 tahun masih tidak cukup untuk setiap rakyat memantapkan penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan? Inilah yang diperjuangkan oleh pejuang bahasa dalam tahun 1967. Mereka berasa bagi dikhianati oleh para pemimpin yaang kononnya memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu.

Sekumpulan 9 orang peguam Melayu telah menghantar memorandum menyuarakan bantahan namun tidak dipedulikan oleh parti yang memerintah.

Kemarahan orang Melayu membuak-buak. Seramai 2,000 orang mewakili 120 pertubuhan orang Melayu telah berhimpun di Balai Budaya, DBP pada petang Jumaat 3 Mac, 1967.
Perhimpunan ini menyaksikan orang Melayu bersatu tanpa mengira fahaman politik. 

Peristiwa itu juga diingati dengan ucapan Tun Syed Nasir Ismail, Pengarah DBP yang menitiskan airmata mengenangkan nasib Bahasa Melayu:

"...saya menangis bukan kerana takut, tetapi air mata ini lahir daripada keharuan hati sanubari saya mengenangkan nasib bangsa saya. Saya tidak boleh buat apa-apa sekarang ini. Saya terikat..."

Kemarahan rakyat sudah tak terbendung menyaksikan sekumpulan aktivis bersedia mahu berarak ke Bangunan Parlimen. Mereka mahu mengusung Keranda 152 yang membawa jiwa bangsa yang sudah ditamatkan hayat oleh bangsanya sendiri.

Image result for keranda 152
Peristiwa Keranda 152 akan diingat sebagai satu episod dalam sejarah perjuangan Bahasa Melayu. Balai Budaya yang menjadi saksi peristiwa bersejarah itu, kini sudah ditukar nama kepada Balai Tun Syed Nasir. Peritiwa 13 Mei 1969, kemudiannya seakan menjadi penyelamat bila Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar utama dalam dasar pendidikan negara. Kemuncak perjuangan ini menyaksikan lahirnya Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1970 yang menyaksikan buat kali pertama, Bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai pengantar utama.

No comments:

Post a Comment